Entry: Tsunami Oh Tsunami Tuesday, December 28, 2004



Sejak Ahad lepas negara kita dikejutkan dengan berita 'tsunami' yang melanda pantai-pantai utara negara kita. Pusat gempa bumi itu dikatakan berasal dari dasar lautan berdekatan Acheh, Sumatera, Indonesia yang membawa gelombang dan ombak besar ke negara kita, pantai Phuket, pantai Sri Lanka, Bangladesh dan selatan negara India. Dianggarkan 30,000 orang maut disebabkan bencana alam ini. Bayangkan betapa besarnya kekuasaan Allah dan hanya sedikit sahaja puncanya menyebabkan ramai yang kehilangan nyawa dan harta benda.


Ombak besar menghempas tembok pantai Hotel Eastern & Oriental, Penang.

Di Pulau Pinang heboh disana sini mengatakan tentang bencana ini yang menimpa pantai-pantai di sebelah pulau seperti pantai Batu Feringhi, Teluk Bahang, Balik Pulau, Tanjung Tokong, Tanjung Bunga, Gurney Drive dan beberapa tempat yang lain. Di tanah besar pula seperti di Kuala Muda, Pantai Merdeka, Kuala Kedah dan Langkawi.

Masa kejadian ni berlaku aku takda kat rumah, apartment aku kira di tepi pantai jugak la dan belakang apartment aku ni perkampungan nelayan. Aku masa tu berada di Padang Serai, Kedah, lepak umah kawan aku sebab malam tu kami pergi berkelah di Kolam Rekreasi Air Panas Baling. Kami yang pergi ni antaranya aku, Leosabri, Farid, Nazeem, Helmie dan Ryzan. Satu kereta Kelisa aku ni enam orang sumbat semuanya. Padat. Tapi takpe sebab yang belakang tu semua kurus-kurus melidi.


Ombak dan banjir lumpur mula membanjiri sekitar kawasan Gurney Drive.


Bulatan Gurney Drive dilimpahi air laut.


Keadaan Bulatan Gurney setelah air surut.

 



Motosikal dan Kereta yang diletakkan sepanjang Gurney Drive musnah dilimpahi air laut dan lumpur yang melimpah.


Okey bercerita balik pasal tsunami ni, gegaran pertama yang dirasai adalah lebih kurang pukul 9 pagi. Masa tu aku tengah syok lena, Ryzan yang tengah tengok tv terima panggilan telefon dari adiknya yang berada di Perlis mengatakan ada gegaran tetapi kami yang di Padang Serai ni tak rasa apa-apa pun. Jadi tengahari tu sementara menunggu Helmie menyiapkan masakan tengahari iaitu Nasi Ayam yang bahan-bahannya kami beli pukul 10 tadi di pekan sehari Padang Serai, kami menunggu untuk menonton berita terkini di tv. Berita di tv menunjukkan gegaran yang dirasai di serata tempat di seluruh semenanjung Malaysia. Rupa-rupanya ada gempa bumi yang terjadi di dasar laut berdekatan Acheh, Sumatera, Indonesia. Skala Richter menunjukkan gegaran yang berukuran 9 skala richter yang mana boleh dikatakan kuat juga telah berlaku didasar lautan disusuli gegaran-gegaran kecil yang lain.

Pukul 4 lebih kami tiba di rumah dari Padang Serai, aku pula tengah menunggu Sharum, kawannya, mak dan adik kawannya datang untuk menumpang di rumah aku kerana pada keesokan harinya mereka nak hantar adik kawannya itu masuk IKM di Sg Petani. Mereka tiba sejurus selepas kami sampai di rumah.

Berita di tv petang ini pula mengatakan ombak besar 'tsunami' telah melanda pantai-pantai di utara semenanjung Malaysia ini khususnya di Pulau Pinang. Sejurus selepas gegaran yang dirasai pada sebelah paginya, tsunami telah melanda dengan teruknya lebih kurang pukul 1 tengahari. Orang ramai yang tengah berkelah ditepi pantai menjadi kelam kabut kerana tidak ada angin ribut tiba-tiba dilanda ombak. Ombak pertama dan kedua tak berapa bahaya tetapi ombak ketiga yang menyebabkan banyak kemusnahan sehingga melimpah ke atas jalanraya, memusnahkan kediaman, meragut beberapa puluh nyawa yang tak sempat menyelamatkan diri.

Saudara mara dan kengkawan aku yang tahu aku di Pulau Pinang sibuk menelefon dan mengSMS aku bertanyakan keadaan di sini. Aku kata, aku biasa je sebab aku tak rasai apa pun gegaran sebab aku takda masa tu, dan masa ombak besar tu pun aku takda kat tepi pantai sebab aku masih belum balik dari Padang Serai, Kedah. Aku ada juga menjenguk pantai petang itu dari tingkat 11 apartment aku ni, tapi aku tengok pantai dan laut dalam keadaan biasa je, maca hari-hari biasa cuma keadaan air lautnya berkeadaan keruh sedikit. Helmie dan Ryzan pula pergi naik motosikal melihat perkampungan nelayan, diorang kata bot-bot dan sampan nelayan banyak yang pecah teruk disebabkan tsunami tersebut.

Mak aku pulak yang masa tu ada kat Bayan Lepas, Pulau Pinang menghadiri kursus ada menelefon aku. Masa tengah kursus lebih kurang pukul 9 tu ada rasa gegaran tu tapi takda lah menjangkakan kesannya seburuk ini. Masa pukul 3 petang tu basnya yang membawa rombongan peserta kursus dari Negeri Sembilan ada pergi menyusuri jalan ke Batu Feringghi dan mereka lihat banyak ambulan dan jalanraya berlumpur. Mereka tidak tahu yang telah terjadinya suatu bencana yang jarang sekali berlaku di negara kita sebelum ini. Aku tak sempat nak jumpa mak aku, lagi pun Jumaat lepas aku dah pergi jumpa dia. Pepaham je la nak menyeberang jambatan tu kena RM7. Selepas balik dari Batu Feringghi tu, mak aku dan rombongannya terus balik ke Seremban.

Malam tu kami masih lagi menunggu cerita-cerita mengenai 'tsunami' ni dan terkejut melihat visual yang ditunjukkan mengenai ombak besar tu, sunggh menakutkan dan rasa insaf dengan kekuasaan dan kebesaran Allah dan bersyukur kerana tidak ditemukan dengan bencana alam tersebut.

   1 comments

jejer
December 28, 2004   02:57 PM PST
 
well..mmg dasyat.. kat kampong aku sorang mati.. budak lagi.. kuar ngail kat laut pagi tuh.. alfatihah kpd semua yg terkorban...

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments